"Abi.. Yan tak nak Abi tunggu Yan. Yan boleh balik dengan kawan-kawan nanti."
Aku bersuara sedikit membentak. Memang kedengaran seperti aku agak meninggikan suara. Namun tidak sedikit pun aku berniat begitu. Aku cuma tidak mahu Abi mengekori aku ketika aku ingin meluangkan masa bersama kawan-kawan.
"Ala tak apa. Abi boleh tunggu. Abi janji Abi tak ganggu Yan. Lagipun hari ni Abi tak kerja. Abi bosan duduk sorang dekat rumah." Jelas sekali Abi tidak mahu mengalah.
"Ala Abi tak payahla ikut orang mana saja orang pergi. Orang malu la. Yan dah besar. Dah 17 tahun pun." Aku mengerutkan dahi tanda protes. Kali ni aku nekad. Aku tak mahu Abi mengekori aku dan kawan-kawan lagi!
Dari jauh aku nampak Wani dan Izrina memandang aku dan Abi sambil berbisik-bisik perlahan.
Sungguh. Aku sungguh malu dengan perangai Abi. Aku diperlakukan seperti anak kecil. Kemana sahaja aku pergi, Abi pasti mengekori aku. Kadang-kadang aku lihat kawan-kawanku seperti tidak mahu berkawan dengan aku kerana tidak selesa sikap Abi yang kukira terlalu protective.
Memang benar aku anak tunggal. Walaupun aku tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu, namun kasih sayang yang dicurahkan oleh Abi sejak aku kecil tidak pernah kurang. Abilah ayah, Abilah ibu.
Tidak pernah aku merasa kehilangan. Saat aku masih kecil, Abi lihat kanak-kanak sebayaku didandan rapi oleh ibu mereka dengan tocang di kepala. Abi tidak mahu aku merasa kekurangan. Dibelikannya aku gaun yang cantik-cantik bewarna merah jambu, getah rambut bewarna-warni, serta sepit rambut dengan butang hiasan berbentuk Hello Kitty.
Disisirnya rapi rambutku setiap pagi sebelum ke sekolah. Kemudian didandannya halus rambutku yang panjang takat pinggang.
"Abi suka Yan simpan rambut panjang macam ni. Cantik macam arwah ummi." Itu kata-kata yang sering Abi tuturkan setiap kali sudah menghias rambutku.
Lalu aku akan berpusing-pusing di hadapan Abi lagak seorang puteri sehingga rambutku mengenai pipi Abi. Lalu aku dakap dan cium pipi Abi dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah walau sedikit pun timbul perasaan malu saat mencium pipi Abi dihadapan orang. Malah, kala itu aku bangga memiliki seorang ayah seperti Abi.
Namun itu dulu. Ketika aku masih berusia 7 tahun.
BERSAMBUNG...
Ulasan
Catat Ulasan